March 23, 2023

Warga Iran-Jerman dijatuhi hukuman mati kerana pengeboman masjid

<img src="" width="250px">

Paris: Mahkamah Iran menjatuhkan hukuman mati atas tuduhan keganasan terhadap seorang warga Iran-Jerman yang sebelum ini diculik dan dihantar kembali secara paksa ke Iran untuk perbicaraan.

Mahkamah Revolusi Tehran mensabitkan kesalahan terhadap Jamshid Sharmahd berhubung pengeboman maut sebuah masjid pada 2008, lapor agensi berita Mizan Online badan kehakiman.

Pihak berkuasa Iran mengumumkan pada Ogos 2020, Sharmahd, 67, yang juga warga Jerman dan penduduk Amerika Syarikat ditangkap dalam apa yang mereka sifatkan sebagai ‘operasi kompleks’, tanpa menyatakan bagaimana, di mana atau bila dia ditahan.

Keluarganya mengatakan, dia diculik oleh agensi perkhidmatan keselamatan Iran ketika transit di Dubai dan kemudian dibawa ke Iran.

“Mereka menculik Jamshid Sharmahd dan kini mereka menjatuhkan hukuman mati kepadanya selepas perbicaraan palsu,” kata ketua kumpulan Hak Asasi Manusia Iran (IHR) yang berpangkalan di Norway, Mahmood Amiry Moghaddam.

“Pada asasnya republik Islam mengancam untuk membunuh seorang tebusan,” tambahnya.

Ahli Parlimen pembangkang Jerman dan ahli jawatankuasa hal ehwal luar negara Norbert Roettgen menciap di Twitter, “dia (Sharmahd ) diculik oleh rejim di Iran dan kini dijatuhi hukuman mati, juga untuk memberi tekanan kepada Jerman.”

“Kerajaan (Jerman) mesti menjelaskan dengan jelas, mereka (kerajaan) tidak boleh menerima penghakiman sewenang-wenang ini dan berjuang untuk hidup,” ciapnya di Twitter.

Sharmahd dituduh Iran mengetuai kumpulan Tondar yang bertujuan untuk menjatuhkan republik Islam itu dan diharamkan sebagai pertubuhan pengganas oleh Iran.

Mizan berkata, Sharmahd merancang untuk melakukan 23 tindakan ‘pengganas’ dan berjaya dalam lima daripadanya, termasuk pengeboman masjid di bandar selatan Shiraz pada 12 April 2008, yang membunuh 14 orang dan mencederakan 300 yang lain.

Pendakwa raya juga menuduh Sharmahd menjalin hubungan dengan pegawai FBI dan CIA dan cuba menghubungi ejen Mossad Israel.

Pada 2009, Iran mensabitkan dan menggantung tiga lelaki kerana pengeboman Shiraz, mendakwa mereka mempunyai kaitan dengan kumpulan monarki dan menerima arahan daripada ‘ejen CIA Iran’ yang berpangkalan di AS dalam cubaan untuk membunuh seorang pegawai kanan di Iran.

Keluarga Sharmahd menafikan tuduhan itu. “Semua pertuduhan adalah rekaan. Mereka mengkambinghitamkan ayah saya yang tidak bersalah,” anak perempuannya Gazelle memberitahu AFP ketika perbicaraannya dijalankan tahun lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

OR

Scroll to Top