May 28, 2023

Sempat minta 20 sen beli aiskrim, ibu mohon ‘delete’ gambar anak digilis lori

<img src="" width="250px">

Sejak semalam, tular beberapa kepingan foto dan video memaparkan keadaan seorang mayat kanak-kanak-kanak perempuan lima tahun yang maut digilis sebuah lori ketika sedang bermain.

Difahamkan kejadian tersebut berlaku di Kampung Paya Mengkuang Batang Tiga, Melaka, kira-kira jam 5.25 petang di mana mangsa, adik Muhammad Qayyum meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.

Bapa mangsa, Muhammad Qayyum Abdul Aziz, 37, sempat menceritakan kelakuan anaknya sebelum berlakunya kejadian di mana mangsa ada meminta 20 sen untuk membeli aiskrim.

Katanya lagi, kejadian berlaku selepas anak bongsu daripada tiga beradik itu pulang dari tadika dan menjadi rutin hariannya singgah di rumah nenek untuk bermain bersama sepupu di kawasan berhampiran.

“Masa tu saya tengah buat kerja-kerja kontraktor di sebuah rumah berdekatan rumah emak, tiba-tiba adik (Nur Qayra) datang bersama sepupunya meminta 20 sen untuk membeli aiskrim.
“Saya berikan kepada mereka dan menyuruh pulang ke rumah selepas membeli aiskrim kerana cuaca panas lalu menyambung kerja semula,”ceritanya.

Tidak lama selepas itu, Muhammad Qayyum terdengar bunyi riuh berhampiran rumah ibunya yang dipercayai berlakunya kemalangan.

Namun, dia tidak menyangka anaknya terlibat dalam kemalangan tersebut, malah lori terlibat juga merupakan kontraktor yang membawa muatan pasir bagi kerja-kerja binaannya.

“Saya tak sangka 20 sen itu jadi permintaan terakhir yang dapat ditunaikan. Dalam seminggu ini dia memang banyak menguji kesabaran saya dengan sikap merengek-rengek mahukan sesuatu, termasuklah minta untuk main di ‘fun fair’ di Klebang.
“Saya pula memang cuti pada waktu itu dan banyak meluangkan masa dengannya, memang dia anak yang manja,”ujarnya.

Sementara itu, ibu mangsa, Faezah Kadir, 38, dalam satu hantaran di Facebook memohon jasa orang ramai yang berada di lokasi kejadian untuk padam dan tidak menyebarkan gambar anaknya.

Malah, dia juga berharap agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian tersebut sehingga boleh menjejaskan emosi pihak keluarga.

Sekadar info, jenazah adik Nur Qayra Quraisya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Kampung Padang Malim, Melaka.

Sumber: Kosmo! Online (Diyanatul Atiqah Zakarya), FB Faezah Kadir

OR

Scroll to Top