Liverpool: Karim Benzema berkata Real Madrid memerlukan masa untuk membuktikan kemampuan sebenar sebelum menunjukkan belang mereka apabila membelasah Liverpool 5-2 di Anfield pada perlawanan pertama 16 terakhir Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.
Penyerang Perancis itu mendedikasikan kemenangan itu kepada legenda Madrid, mendiang Amancio Amaro, yang meninggal dunia pada usia 83 tahun, semalam.
“Ia adalah malam yang sangat penting bagi kami, saya mahu mendedikasikan kemenangan ini kepada presiden kehormat kami, Amancio.
“Kemenangan ini adalah untuknya, bersama-sama personaliti dan matlamat kami. Kami mahukan Liga Juara-Juara ini.
“Ia adalah perlawanan yang menarik kerana kami bermula dengan agak teruk. Kami tahu Liverpool dengan sokongan penyokong mereka banyak memberikan tekanan tetapi selepas 15, 20 minit, kemudian kami menunjukkan kemampuan sebenar Real Madrid,” kata kapten Madrid, Benzema kepada Movistar
Liverpool mendahului dua gol di awal perlawanan namun Madrid kembali bangkit untuk mendapatkan kemenangan selesa.
Vinicius Junior, yang menjaringkan gol kemenangan ketika menentang pasukan bimbingan Jurgen Klopp pada perlawanan akhir 2022, meledak dua gol, begitu juga Benzema, manakala Eder Militao turut menyumbang gol.
“Kami tahu bola sepak sentiasa sukar, mereka bermula dengan baik. Dua kesilapan selepas 14 minit, kami perlu bekerja keras dan berjaya melakukannya sehinga tamat perlawanan.
“Jaringan boleh mengubah segala-galanya dan ia berlaku hari ini,” kata Benzema.
Darwin Nunez meletakkan Liverpool di hadapan dengan penyudah yang baik dan kemudian Mohamed Salah menjaringkan gol kedua untuk tuan rumah selepas kesilapan dilakukan penjaga gol Madrid, Thibaut Courtois.
© New Straits Times Press (M) Bhd