RAJA libas negara, Allahyarham Adnan Saidin, 66, sentiasa mengikuti perkembangan semasa sukan sepak takraw negara dan menyifatkan sukan ini masih mempunyai masa depan cerah serta mampu menyerlah di pentas antarabangsa berdasarkan bakat-bakat baharu dan sedia ada.
Perkara tersebut didedahkan anak ketiganya, Mohd Faizal Adnan, 38, yang juga bekas perejam negara, Kedah dan Negeri Sembilan.
Menurutnya, Allahyarham yang merupakan Pemain Terbaik Asia 1984 dan digelar Raja Sepak Takraw Asia 1986 itu masih lagi memberikan tumpuan kepada perkembangan sepak takraw negara dan sering bertanya serta berkongsi pendapat dengannya tentang sukan itu.
“Ayah kata bakat-bakat sekarang ada potensi. Gandingan yang membarisi pasukan negara ini melibatkan pemain pengalaman dan baharu.
“Walau dalam keadaan yang macam itu (tidak sihat) ayah masih lagi menyokong dan tengok. Kadang-kadang saya yang akan beritahu tentang keadaan semasa sukan sepak takraw kepadanya. Terbaharu saingan Sukan SEA 2023 ayah tidak sempat lihat sebab masuk hospital,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di Taman Huda, Jalan Gangsa, dekat sini pada Isnin.
Media melaporkan negara kehilangan permata sukan sepak takraw apabila Adnan meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyyah (HSB), Alor Setar, akibat masalah kesihatan pada pagi Isnin.
Jenazah disembahyangkan di Surau Kampung Padang, Batu Dua, Tandop, Alor Setar dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang selepas solat Zohor.
Mohd Faizal berkata, Allahyarham bapanya dimasukkan ke sebuah hospital swasta sejak seminggu lalu kerana sering mengadu keletihan.