YUNNAN – Terletak kira-kira 1,400 meter dari aras laut dan sentiasa diselubungi kabus, menjadikan Kampung Huanggualu di Malipo, Tianbao di sini, bagaikan sebuah desa di sebalik awan.
Keindahan panorama kawasan pedalaman wilayah Yunnan yang bersempadan dengan Vietnam dan Myanmar ini turut membuatkan penulis terlupa bahawa kira-kira sejam sebelum itu menempuh perjalanan yang agak menggerunkan – menaiki bas di jalan berselekoh tajam dengan curam dan gaung dalam yang menunggu jika tersilap langkah.
Belum lagi diambil kira lelah menaiki penerbangan selama empat jam dari Beijing ke Kunming sebelum menyambung perjalanan dengan bas mini selama empat jam lagi ke bandar Weshan – bandar terdekat dengan perkampungan itu – yang terletak di Wilayah Autonomi Wenshan Zhuang dan Miao, tenggara Yunnan.
Benarlah kata Shen Xiaochang, pembantu peserta program yang penulis ikuti selama lima bulan di tanah besar China ini, perjalanan ke wilayah Yunnan memang tidak mudah kerana destinasinya adalah “syurga yang tersembunyi”.
“Di sini kalian boleh dengar dan saksikan sendiri secebis daripada ribuan kisah kejayaan program pembasmian kemiskinan di negara ini yang diusahakan oleh kerajaan,” ujarnya kepada rombongan kami yang turut disertai oleh 20 wartawan lain.
Menelusuri kisah kampung Huanggualu
Ketibaan kami di perkampungan yang didiami oleh etnik Yao – satu daripada 56 suku kaum yang diiktiraf oleh kerajaan China – disambut oleh 14 orang wanita pelbagai peringkat usia yang lengkap berpakaian etnik diiringi lagu selamat datang serta hidangan teh panas.
Selepas hampir lima bulan dikelilingi hutan batu metropolitan Beijing dan Shanghai, penulis yang berada di republik ini sebagai peserta Program China Asia Pacific Press Centre 2022 (CAPCC) sejak Julai, mengambil peluang menjamu mata dengan keindahan kampung itu sepuas-puasnya selain merakam gambar dan video.
Di sebalik samar-samar kabus tebal, penulis masih dapat melihat kehijauan ladang tomato yang terbentang sejauh mata memandang. Malah, kami dipelawa memetik buah tersebut untuk dinikmati.

Perjalanan ke Kampung Huanggualu, Malipo, daerah Tianbao di wilayah Yunnan yang terletak kira-kira 1,400 meter dari aras laut. Pada 2014. – Foto Bernama
China lancar perang terhadap kemiskinan
Pada 14 November 2020, Yunnan yang terletak di barat daya China dan kaya dengan kepelbagaian etnik, mengumumkan yang ia telah membasmi kemiskinan mutlak selepas baki sembilan daerahnya dikeluarkan daripada senarai daerah miskin tegar.
Media tempatan China yang memetik pegawai setempat, melaporkan sejak 2012, kerajaan berjaya mengeluarkan 8,502 buah kampung di 88 daerah di Yunnan daripada senarai miskin tegar, membabitkan 8.8 juta penduduk merentasi pelbagai etnik.
Sebagai antara wilayah kurang membangun di China, Yunnan yang mempunyai daerah miskin terbanyak di negara itu, adalah antara medan pertempuran utama kerajaan dalam memerangi kemiskinan.
Antara langkah yang diambil ialah memindahkan penduduk di kawasan yang tidak mempunyai sumber mencukupi ke kawasan lain, membabitkan 1.5 juta orang yang dipindahkan ke lebih 2,800 petempatan baharu termasuk 19 kawasan yang mampu menampung lebih 10,000 penduduk masing-masing, lapor media China, CGTN.
China, sejak 2012, telah menghantar lebih tiga juta pegawai kerajaan ke kampung-kampung miskin di seluruh negara, antara lain bagi menentukan jumlah penduduk miskin, mengukur pendapatan, menilai keadaan rumah, mengenal pasti pelajar yang tercicir daripada persekolahan dan membanci pemilikan insurans perubatan.
Presiden China Xi Jinping dilaporkan berkata melalui pelbagai usaha yang dijalankan, kira-kira 98.99 juta penduduk luar bandar telah dikeluarkan daripada kemiskinan dalam tempoh 2012 hingga 2020, menjadikan keseluruhan 770 juta rakyatnya bebas daripada kemiskinan dalam tempoh empat dekad lalu.
Ini menyumbang kepada lebih 70 peratus pengurangan kemiskinan di seluruh dunia, sekali gus bermakna China mencapai matlamat pengurangan kemiskinan dalam Agenda Pembangunan Mampan 2030 kira-kira 10 tahun lebih awal. – Bernama
OR