March 20, 2023

Pesara polis maut kereta dirempuh lelaki positif dadah

<img src="" width="250px">

GUA MUSANG: Seorang pesara polis maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) Perodua Ativa yang dinaiki bersama keluarganya dirempuh sebuah kereta dipandu seorang lelaki disyaki positif dadah di Kilometer 66, Jalan Gua Musang- Kuala Krai berhampiran Sungai Lakit di sini, semalam.

Dalam kejadian pukul 8 malam itu, Adam Mat Hasan, 63, yang berada di tempat duduk belakang SUV berkenaan maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Dua lagi penumpang iaitu isteri mangsa, Che Romayni Che Ismail, 55, dan Nurul Qurratul Ain Nazifa, 24, mengalami kecederaan pada hidung dan kepala, manakala, pemandu SUV, Muhamad Muhaimin, 25, tidak mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, kemalangan itu melibatkan tiga buah kenderan iaitu sebuah SUV, kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire dan Proton Saga.

Menurutnya siasatan awal mendapati, semasa kejadian empat beranak itu dalam perjalanan dari arah Gua Musang menuju ke Kuala Krai.

“Apabila sampai di tempat kejadian, dipercayai kenderaan Proton Saga yang dipandu seorang lelaki berusia 42 tahun telah hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan  bergesel dengan MPV jenis Toyota Vellfire.

“Kemudiannya, kenderaan terbabit telah  bertembung dengan SUV Perodua Ativa yang dipandu oleh Muhamad Muhaimin yang bekerja  sebagai Pegawai Penjara,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Choon Foo memberitahu, hasil ujian awal saringan air kencing mendapati pemandu Proton Saga FL positif Methamphetamine dan ganja. 

“Pemandu itu ditahan di bawah Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian,” ujarnya.

Choon Foo memberitahu, siasatan lanjut masih dijalankan dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian boleh menyalurkan dengan menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang di talian 09-9121222 atau Pegawai Penyiasat,  017-2830392. – UTUSAN

OR

Scroll to Top