najiy.jefri@hmetro.com.my
TIDAK salah untuk bermimpi kerana mimpi itu percuma. Bait-bait perkataan ini masih segar dalam ingatan tatkala Aina Abdul memberikan ucapan di hadapan jutaan penonton yang menjadi saksi kejayaannya apabila diangkat sebagai juara Anugerah Juara Lagu ke-37 (AJL37), kelmarin.
Kejayaan Aina menerusi lagu Terus Hidup hasil ciptaan sepenuhnya figura bersuara lunak itu menjadi bukti bahawa segala usaha yang dicurahkan dalam bidang seni tidak pernah ‘mengkhianati’ kerja keras yang dicurahkan selama ini.
Selain berjaya membawa pulang hadiah kemenangan bernilai RM100,000, penyanyi berusia 30 tahun itu turut dinobatkan sebagai pemenang Vokal Terbaik dan membawa pulang wang tunai bernilai RM12,000.
Biarpun jurang markah antara juara dan naib juara yang dimenangi legenda Hip-hop, Joe Flizzow bersama sahabatnya, SonaOne melalui Satu Malam Di Temasek hanyalah dua mata, namun siapa mampu menidakkan kemenangan Aina yang sememangnya cukup luar biasa dan berjaya ‘menyihir’ ramai orang.
Aina yang ditemui usai kemenangan pada malam penuh bersejarah itu berkata, dia tidak menyangka apabila lagu Terus Hidup berjaya menghadiahkan satu kejayaan manis buat dirinya sepanjang berkecimpung dalam bidang nyanyian.
“Alhamdulillah usaha kali keempat dalam AJL membuahkan hasil yang sangat indah. Di awal persiapan saya untuk AJL37 saya memang ada letak harapan yang besar untuk Terus Hidup.
“Saya tidak boleh menipu diri sendiri kerana saya memang nak sangat rasa kemenangan ini. Alhamdulillah berkat doa ibu yang menonton daripada rumah dan doa-doa peminat, saya ingin hadiahkan kejayaan ini buat mereka.
“Tidak dilupakan kemenangan ini juga adalah buat arwah bapa saya, Abdul Ghani Abdullah yang mana saya tujukan lagu Terus Hidup ini buatnya,” katanya.
Tambah Aina, dia bersyukur apabila perjalanan karier seninya mampu berada sejauh ini selain berjaya meraih pelbagai anugerah.
Malah Aina dalam ucapannya turut berterima kasih kepada penulis lirik dan komposer yang ada di Malaysia kerana kehadiran mereka memberi inspirasi untuk dirinya terus kekal aktif dalam dunia seni.
“Pada permulaan karier saya sebagai Aina yang sebelum ini dikenali sebagai Aina Mentor Legend sekitar 2015, ketika itu saya tiada langsung asas menulis lagu.
“Dalam fikiran saya ketika itu adalah menunggu lagu terbaik untuk hadir dalam hidup saya, tetapi semuanya berubah apabila saya susah untuk mendaki dalam industri seni.
“Saya pernah berada di tahap terbawah dalam hidup sekitar tahun 2015 dan 2016. Namun melihat ramai komposer dan penulis lirik menyampaikan kisah mereka menerusi lagu, saya cuba bangkit dan mula terinspirasi untuk tulis lagu sendiri sehingga kini.
“Jadi sebab itulah saya mengatakan mereka adalah sebab utama saya bangkit dalam industri seni sebagai komposer dan penulis lirik serta tidak dilupakan peminat yang selama ini menyokong kerjaya seni saya,” katanya.
Berjaya mengenepikan penyanyi senior yang bertanding pada AJL37 apabila merangkul kategori Vokal Terbaik, Aina menganggap kejayaan itu adalah rezeki pemberian Ilahi.
“Saya tak berani nak cakap saya kalahkan sesiapa, tapi saya anggap ini adalah rezeki daripada Allah.
“Apa yang boleh saya katakan, artis senior ini hadir lebih awal daripada saya. Jadi sudah tentu saya sudah menonton dan kaji segala video berkaitan penyanyi ini.
“Sejujurnya saya adalah peminat utama kepada Ernie, Shila Amzah, Liza Hanim, Dayang Nurfaizah dan Marsha. Jadi saya rasa tiada istilah kalahkan atau apa, tapi rezeki,” katanya.
AJL37 yang bersiaran secara langsung dari Axiata Arena, Bukit Jalil turut menyaksikan kejayaan Alif Satar & The Locos menerusi lagu Anugerah Terindah yang berjaya merangkul tempat ketiga.
Sementara itu, kategori Persembahan Terbaik pula dimenangi oleh penyanyi Shiha Zikir melalui lagu Irama.
AJL 37 yang turut bersiaran secara langsung di TV3 menggandingkan dua hos hebat tanah air iaitu Sherry Alhadad dan Jihan Muse.
© New Straits Times Press (M) Bhd