Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Ketika pemain sepak takraw sedang berjuang di Sukan Sea Kemboja, berita menyedihkan menyelubungi skuad berkenaan apabila legenda, Adnan Saidin menghembuskan nafas terakhirnya pagi ini pada usia 66 tahun.
Bekas pemain sepak takraw negara itu dimasukkan ke Pusat Perubatan Kedah (KMC), Alor Setar, Kedah sejak minggu lalu akibat jangkitan kuman pada paru-paru sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah.
Menurut Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb), Allahyarham meninggal dunia pada jam 6 pagi tadi dan akan di bawa ke rumahnya di Taman Utama, Jalan Gangsa, Alor Setar.
“Solat jenazah akan diadakan selepas solat Zohor, di Surau Kampung Padang Batu 2 Tandop, Alor Setar dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Tok Sham,” kata Yakeb kepada Arena Metro hari ini.
Adnan yang mewakili negara dari tahun 1980 hingga 1986, terkenal dengan libas pari di posisi apit kiri, dan kerap digandingkan dengan Shukri Ismail (apit kanan atau pengumpan) dan Azman Ismail (tekong).
Bersama Kedah, mereka juga pernah menjulang Piala Emas Khir Johari dalam Kejohanan Sepak Takraw Kebangsaan pada edisi 1981, 1985, 1986 dan 1987.
Anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu pernah bergelar Pemain Terbaik Asia 1984 dan Raja Sepak Takraw Asia 1986.
Libasan Adnan bukan sahaja membantu Malaysia memenangi pingat emas Sukan Sea Jakarta 1979, Manila 1981 dan Singapura 1983, tetapi turut menghadirkan gerun buat musuh tradisi, Thailand.
© New Straits Times Press (M) Bhd