June 11, 2023

Pelajar rugi RM11,500 ditipu pembelian alat permainan video

<img src="" width="250px">

KUALA LUMPUR – Seorang pelajar kejururawatan rugi RM11,500 selepas menjadi mangsa penipuan pembelian alat permainan video Konsol Nintendo Switch dalam aplikasi media sosial.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, pada 13 Mei lalu, pihaknya telah menerima satu laporan polis daripada mangsa seorang wanita warga tempatan berkaitan penipuan pembelian alat permainan konsol itu secara dalam talian.

Katanya, mangsa berusia 20 tahun itu dalam aduannya mendakwa mengalami kerugian RM11,500 selepas tertipu dalam pembelian alat permainan itu di TikTok.

“Pengadu menyatakan dia telah melihat iklan penjualan konsol Nintendo Switch yang dijual dengan harga RM300. Kemudian pengadu telah berurusan dengan seorang ejen jualan dan telah diminta untuk membuat bayaran RM250 sebelum diarahkan lagi untuk membuat pelbagai lagi bayaran seperti bayaran kastam, clearance fee, bayaran insurans dan caj penghantaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Ahmad Sukarno, polis bertindak atas aduan mangsa mendapati pengadu telah membuat bayaran secara berperingkat sejak 8 hingga 13 Mei lalu dalam 13 transaksi ke dalam dua jenis akaun bank yang berbeza membabitkan wang berjumlah RM11,500.

Kertas siasatan dibuka dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – MalaysiaGazette

OR

Scroll to Top