March 22, 2023

Pekan Jeniang lokasi perintis Desa Tanpa Tunai

<img src="" width="250px">

GURUN: Pekan Jeniang dipilih menjadi lokasi perintis ‘Desa Tanpa Tunai’ menggunakan pembayaran dalam talian sebagai persediaan kepada peniaga luar bandar dan masyarakat setempat beralih ke era digital sepenuhnya.

Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Marzunisham Omar berkata, ianya bagi membiasakan peniaga mikro dan orang ramai khususnya di kawasan luar bandar berdepan dunia digital yang menggunakan pembayaran secara elektronik dan tidak lagi secara tunai.

“Sebagai alternatif e-pembayaran yang akan menjadi medan perniagaan di masa hadapan perlu diadaptasi dalam proses jual beli di kawasan ini kerana ia mempunyai banyak kelebihan dan menguntungkan semua pihak.

“Seperti juga peniaga, orang ramai dapat jimat masa dan tenaga ketika berurusan jual beli menggunakan aplikasi yang disediakan tanpa perlu keluar rumah, bersusah payah mencari tempat letak kenderaan dan beratur panjang semata-mata untuk mengeluarkan wang tunai di bank,” katanya ketika melancarkan Program e-Duit Desa di Jeniang, hari ini.

Kata Marzunisham, pandemik Covid-19 baru-baru ini telah menunjukkan peniaga dan pembeli mula membiasakan diri menggunakan pelbagai kemudahan sistem e-pembayaran membabitkan kad debit, kad kredit, kod QR serta e-dompet.

“Keseluruhan pembayaran secara elektronik ini tidak lagi dilaksanakan di kawasan bandar atau lokasi tumpuan semata-mata sebaliknya telah turut diamalkan penduduk luar bandar dan peniaga mikro.

“Sebagai pendedahan awal di Kedah khususnya di kawasan Jeniang ini kita telah mengenal pasti seramai 107 peniaga untuk menggunakan kemudahan e-pembayaran dan diharap lebih ramai peniaga akan terlibat selepas ini,” katanya.

Katanya, BNM telah bekerjasama dengan industri dan melancarkan kempen dengan tiga objektif utama antaranya meningkatkan kesedaran orang ramai, membina keyakinan terhadap pembayaran tanpa tunai, mempercepat penggunaan dan meningkatkan bilangan transaksi.

“Di kawasan luar bandar, penggunaan tanpa tunai atau juga dipanggil e-duit semakin meningkat dan kita akan sentiasa turun padang untuk memastikan peningkatan yang lebih tinggi lagi, salah satu usaha kita adalah untuk meningkatkan kesedaran dan pengajaran kepada orang ramai supaya menggunakan kedah ini secara selamat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam Malaysia Berhad, Mohd. Muazzam Mohamed berkata, pihaknya menyediakan aplikasi Go Biz by Bank Islam bagi memudahkan pengurusan kewangan perniagaan mikro serta perusahaan kecil dan sederhana. –UTUSAN

OR

Scroll to Top