June 11, 2023

Pakistan kenakan larangan perjalanan ke atas Imran Khan

<img src="" width="250px">

ISLAMABAD – Kerajaan Pakistan menyekat bekas perdana menteri, Imran Khan, isterinya dan ratusan pembantu politik daripada membuat perjalanan ke luar negara, kata pegawai pada Jumaat.

Agensi Penyiasatan Persekutuan (FIA), yang bertanggungjawab untuk imigresen dan sempadan meletakkan nama Khan ke dalam senarai larangan terbang, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Isteri Khan, Bushra Bibi, dan lebih 500 pemimpin dan anggota Parti Tehreek-e-Insaf Pakistannya turut tersenarai, kata pegawai itu.

Langkah itu dibuat ketika Khan berdepan tindakan undang-undang beberapa minggu selepas penyokongnya menyerbu kemudahan tentera utama termasuk ibu pejabat tentera, sebagai protes terhadap penahanannya pada 9 Mei.

Hampir 100 bekas Ahli Parlimen dari parti Khan menjauhkan diri dari bekas perdana menteri sejak kejadian itu. Lebih 7,000 penyokongnya pula ditangkap dalam satu tindakan kekerasan.

Menurut kerajaan, mereka yang menyerang kemudahan tentera akan berdepan perbicaraan di mahkamah tentera, langkah yang dikritik oleh kumpulan hak asasi global dan negara.

Kerajaan Khan, antara 2018 dan 2022, juga melarang beberapa pemimpin pembangkang daripada membuat perjalanan ke luar negara.

Beberapa menteri kerajaan berkata cadangan untuk mengharamkan parti Khan sedang dipertimbangkan, langkah yang mungkin memburukkan lagi kekacauan politik di negara yang menghadapi kegagalan ekonomi dan ancaman daripada kebangkitan semula militan. – Bernama/ dpa

OR

Scroll to Top