SEREMBAN: Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan menyambut baik keputusan supaya parti-parti yang dalam kerajaan perpaduan ketika ini tidak bersaing sesama sendiri bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Pengerusinya, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, keputusan berkenaan sudah tentu disambut baik kerana ia juga melambangkan kesepakatan telah terbentuk di antara parti terlibat.
“Ya, saya setuju agar tidak saling bertanding dalam PRN nanti. Saya akan mendapatkan penjelasan lanjut daripada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook semasa Konvensyen DAP Negeri Sembilan yang akan diadakan pada 19 Februari ini,” katanya hari ini.
Sebelum ini, Siew Fook dilaporkan berkata, parti-parti dalam kerajaan perpaduan telah mencapai kesepakatan untuk tidak saling bersaing dalam PRN di enam negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu dan Kedah.
Beliau berkata, keputusan itu telah dicapai dalam mesyuarat pertama Sekretariat Kerajaan Perpaduan yang diadakan baru-baru ini.
Jelasnya, susulan daripada keputusan yang dicapai, semua pakatan politik dan parti dalam kerajaan perpaduan tidak akan saling bersaing dalam PRN yang akan dijalankan.
Sementara itu, Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan berkata, isu pembahagian kerusi di antara PH dan Barisan Nasional (BN) untuk menghadapi PRN akan diselesaikan kemudian.
Daripada 36 buah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Negeri Sembilan, 20 kerusi telah dimenangi oleh PH pada Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 2018 manakala 16 lagi kerusi dimenangi oleh BN.-UTUSAN.
The post PRN: Keputusan tidak bersaing antara parti kerajaan perpaduan disambut baik appeared first on Utusan Malaysia.