March 22, 2023

Menteri minta KPN timbang sesi berkala bersama media

<img src="" width="250px">

am@hmetro.com.my

Putrajaya: Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani diminta mempertimbangkan sesi bersama media secara berkala seperti yang pernah dilakukan sebelum ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata perkara itu diusulkan kepada Acryl ketika Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhasrat membina jalinan kerja lebih kondusif dengan media.

Katanya, beliau menerima banyak maklum balas khususnya daripada rakan media dan merasakan permintaan itu ada munasabahnya.

Pada masa sama, katanya, beliau juga melihat logik sesi berkenaan ditiadakan selepas mendengar pandangan polis berhubung perkara berkenaan.

“Cuma dalam keadaan sekarang ketika KDN berharap untuk membina jalinan kerja yang lebih kondusif dengan rakan-rakan media sebagai rakan strategik maka saya mengusulkan kepada Ketua Polis Negara tadi secara langsung, ucapan yang semua rakan-rakan media dengar untuk ia diadakan semula.

“Saya beri peluang kepada Ketua Polis Negara untuk menimbangkan cadangan itu dan saya harap ia dapat dilaksanakan dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media selepas Majlis Libat Urus bersama Media, di sini malam tadi.

Program berkenaan turut dihadiri Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid, dan Pengarang Urusan Kumpulan, The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) merangkap Pengarang Kumpulan BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman serta tokoh media, Datuk Ahmad Nazri Abdullah dan Tan Sri Johan Jaafar.

Terdahulu, ketika berucap, Saifuddin berkata, sebelum ini sesi sidang media sering diadakan namun atas alasan tertentu ia dihentikan.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin bertegas bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana anggota polis yang cuba menghalang orang awam dari membuat laporan.

Pun begitu, beliau mengingatkan orang awam untuk mematuhi kod etika berpakaian yang ditetapkan ketika mereka berurusan dengan pihak berkuasa.

“Kita tak kompromi soal kesiapsiagaan anggota polis menolak daripada mengambil laporan.

“Tapi, pada masa sama saya fikir untuk masyarakat awam juga mengambil maklum bahawa ada elemen kesopanan dalam berurusan,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan seorang wanita berang selepas tidak dibenarkan memasuki Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk membuat laporan kemalangan jalan raya, kerana individu berkenaan tidak berpakaian sopan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

OR

Scroll to Top