sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Skuad badminton negara berjaya melayakkan diri ke suku akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia 2023 (BAMTC) selepas mudah menewaskan Kazakhstan 5-0 sebentar tadi.
Pada aksi di Pusat Pameran Dubai itu, perseorangan wanita negara, Wong Ling Ching menyumbang mata pertama selepas menewaskan Aisha Zhumabek 21-6, 21-13 sebelum bekas juara remaja Asia, Leong Jun Hao meletakkan Malaysia 2-0 di depan menerusi kemenangan ke atas Dmitry Panarin 21-12, 21-16.
Skuad negara nyata tidak memberi ruang buat Kazakhstan apabila beregu wanita negara, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing terus menambah derita lawan itu menerusi kemenangan ke atas Nargiza Rakhmetullayeva-Aisha Zhumabek 21-7, 21-7 sebelum juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menyumbang mata keempat selepas menundukkan gandingan Khaitmurat Kulmatov-Artur Niyazov 21-5, 21-17.
Beregu campuran, Cheng Tan Jie-Toh Ee Wei melengkapkan kemenangan skuad negara selepas mengetepikan cabaran Makhsut Tadzhibullaev-Nargiza Rakhmetullayeva 21-9, 21-10.
Malaysia dijadual bakal berdepan ujian sebenar menentang India bagi menentukan juara Kumpulan B esok.
© New Straits Times Press (M) Bhd