May 28, 2023

Lelaki pukul pemandu lori dengan topi keledar dicari

<img src="" width="250px">

ISKANDAR PUTERI: Polis sedang mengesan seorang lelaki yang bertindak memukul seorang pemandu lori dengan topi keledar di Plaza Tol Tanjung Kupang (menghala ke Singapura), Rabu lalu. 

Menurut Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin, pihaknya maklum mengenai perkara itu setelah tular video di Twitter memaparkan penunggang motosikal membuat kecoh di kawasan itu.

“Siasatan mendapati kejadian berlaku pada pukul 6.15 pagi di Plaza Tol Tanjung Kupang menghala ke Singapura.

“Kejadian berpunca daripada teguran pemandu lori kepada suspek yang menunggang motosikal memasuki laluan sama yang dilalui oleh lori di plaza tol tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, tular video berdurasi 28 saat yang menunjukkan seorang lelaki bertengkar dengan pemandu lori sebelum memukulnya menggunakan topi keledar.

Rahmat berkata, suspek kemudiannya beredar setelah ditarik oleh seorang wanita yang dipercayai isterinya. 

“Polis meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian itu tampil ke Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri untuk membantu siasatan,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan (khianat). – UTUSAN

OR

Scroll to Top