March 23, 2023

Lelaki bunuh rakan ke tali gantung

<img src="" width="250px">

IPOH: Seorang lelaki yang tidur bersama mayat rakannya dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini setelah didapati bersalah membunuh mangsa, lima tahun lalu.

Mohd. Azhud Ibrahim, 33, yang memakai seluar jeans dan ‘sweater’ berwarna hitam kelihatan tenang semasa hukuman terhadapnya dibacakan Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed.

Beliau membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Dalam penghakimannya, Abdul Wahab berkata, keterangan tertuduh yang menyatakan pergaduhan dia dan si mati berlaku sebelum lelaki terbabit makan makanan terakhir adalah bersifat ‘bare denial‘ semata-mata.

“Tertuduh dalam keterangannya menyatakan dia tiada niat membunuh si mati malah selepas pergaduhan, telah keluar membeli makanan dan minuman untuk lelaki itu.

“Menurut keterangan pakar patalogi, hasil bedah siasat mendapati perut si mati mengumpul makanan yang belum dihadam selain pemeriksaan luaran dan dalaman si mati, terdapat kecederaan dan luka di pipi, mulut dan leher.

“Daripada hasil pemeriksaan, boleh disimpulkan bahawa si mati makan terlebih dahulu sebelum pergaduhan berlaku.

“Ini kerana terdapat makanan yang belum dihadam dalam perut si mati selain keadaan kecederaan si mati yang tidak memungkinkan dia makan dalam keadaan mulut sebegitu,” ujar beliau.

Tambah beliau, dakwaan tertuduh yang dia memukul si mati untuk halang diri dipukul dan mempertahankan diri, namun daripada laporan tangkapan, tiada keterangan menunjukkan tertuduh mengalami kecederaan.

“Selain itu, penemuan sebatang cangkul di atas tanah berdekatan dengan lubang yang digali di belakang rumah tertuduh adalah konsisten dengan keterangan lelaki itu.

“Persoalannya, mengapa tertuduh menggali lubang itu jika benar dia tiada niat untuk membunuh si mati? Tindakan yang sepatutnya diambil tertuduh adalah melaporkan kepada polis, bukannya menyembunyikan mayat si mati.

“Ini sekali gus menunjukkan niat tertuduh menutup jenayah yang dilakukannya,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Azhud yang ketika itu berusia 28 tahun telah melakukan bunuh terhadap Ahmad Azam Ahmad, 43, dengan cara memukul menggunakan sebatang buluh dan sebatang tebu serta memijak sehingga mengakibatkan kematian.

Perbuatan itu dilakukan di alamat No 2A Lorong Mohd. Ali Kampung Bahagia, Teluk Intan pada pukul 10 malam hingga 8 pagi pada 10 Ogos 2018.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fitri Sadarudin manakala Mohd. Azhud diwakili peguam, Gurbachan Singh.

Untuk rekod, pihak pendakwaan telah memanggil seramai 20 saksi sepanjang perbicaraan kes itu manakala dua saksi lagi di pihak pembelaan. – UTUSAN

OR

Scroll to Top