June 4, 2023

Lali jadi 'perisai' keluarga

<img src="" width="250px">

nurul_husna@hmetro.com.my

DEMI anak, Siti Aisah Md Sari tidak kisah menebalkan muka setiap kali ‘mengemis’ simpati pada bekas suami demi kelangsungan hidup untuk membesarkan lima cahaya mata kesayangannya.

Kata Siti Aisah, meskipun memiliki kerjaya sebagai penjawat awam, tetapi membesarkan anak menagih kewangan cukup tinggi dan perjalanan sebagai ibu tunggal bukan tugas mudah apatah lagi sikap si suami yang culas memberi nafkah.

Menyukarkan lagi kehidupan wanita berusia 40-an ini apabila kemelut rumah tangganya berpunca daripada kehadiran orang ketiga yang dikatakan cinta pertama bekas suami. Malah, bekas suami juga menidakkan nafkah dan hak anaknya.

“Urusan semudah zakat fitrah anak untuk raya hanya berpuluh ringgit mengundang cercaan dan makian bekas suami, apatah lagi dalam pembiayaan nafkah anak.

“Tetapi mengalah tiada dalam ‘kamus’ saya ketika ini sehinggalah saya berjaya mendapatkan kembali hak anak-anak yang dicurangi bekas suami,” katanya ketika ini dalam perjuangan menuntut harta sepencarian untuk jaminan masa depan anak-anak.

Kata wanita kental itu, penderaan bekas suami ke atas dia dan anak-anak lebih bercirikan lebih kepada penderaan mental dan emosi.

“Walaupun suami tidak pernah naik tangan pada saya, namun anak pula menjadi mangsa. Sayalah menjadi benteng setiap kali bekas suami ‘menggila’ pada anak-anak setiap kali tingkah laku mereka mengundang rasa kurang senangnya.

“Ada satu masa bekas suami mengamuk hanya kerana anak nombor empat jatuhkan beg yang disandang sebaik pulang dari sekolah. Di depan mata saya nampak suami bertindak memaki hamun anak dan hampir memijak kepala anak.

“Mujur saya sudah sampai di rumah dari tempat kerja dan dengan tubuh saya yang kecil inilah saya tolak bekas suami. Saya tidak takut dicedera atau dilukai suami, asalkan anak-anak kekal selamat di bawah perlindungan saya.

“Pada saya melangkah ke kehidupan sebagai ibu tunggal lebih tenang berbanding menjadi isteri kepada suami yang tidak selayaknya melukai anak,” katanya.

Menjelaskan perjalanan getir Siti Aisah yang ketika ini baru sahaja menikmati detik kemenangan apabila tuntutan nafkah anak berjaya mendapat perhatian hakim mahkamah syariah.

“Saya kekal berjuang untuk dapatkan hak saya yang berkorban emosi dan mental selama 16 tahun hidup bersama bekas suami yang juga bermain kayu tiga.

“Bekas suami mengugut dengan melakukan pelbagai provokasi supaya saya tunduk terhadap segala perbuatannya termasuk pernah dihalau keluar dari rumah yang menjadi tempat saya dan anak-anak berlindung.

“Semua itu hanya berpunca daripada tuntutan nafkah anak saya terhadapnya RM600 seorang diluluskan hakim perbicaraan ketika itu.

“Saya dihalau keluar bersama lima anak ketika pandemik. Kesusahan ketika itu suami tergamak menghalau saya bersama lima anak yang juga pewarisnya keluar dari rumah yang kami tinggal selama ini.

“Mujur anak-anak matang dan beri sokongan saya keluar. Mereka sanggup berhimpit dalam kereta kecil bersama barang yang terpaksa dibawa ketika berpindah ke rumah saya yang disewakan kepada orang sebelum ini.

“Walaupun hidup kekurangan berbanding tinggal bersama bapa mereka dahulu, mereka lebih bahagia dan gembira bersama saya yang serba kekurangan,” katanya.

Sementara itu rakan senasib yang juga menjadi kumpulan sokongan ibu tunggal, Nur Zakiah @ Ita Amiruddin, 45, berkata, bantuan diberikan kepada rakan ibu tunggal lain berdasarkan pengalaman perit yang dilalui untuk mendapat keadilan daripada bekas suaminya.

“Perkahwinan kedua lebih memeritkan, walaupun bekas suami sudah dikenali sejak di bangku sekolah lagi. Sikapnya sangat berbeza berbanding saya mengenalinya ketika kami menjalin hubungan cinta.

“Bekas suami tunjukkan sikap baran selepas tiga bulan berkahwin dan saya jadi tempat dia melepaskan geram. Saya pernah diheret di jalan raya dan tubuh saya dihujani tumbuk serta terajangnya.

“Pada satu tahap saya pernah alami kemurungan teruk ketika enam bulan mengandungkan anak bongsu, Fareehin Al-Fateeh dan anak ketiga pula, Siti Nur Khaleeda pula masih berusia setahun lebih. Saya hilang pertimbangan dan ‘sedar-sedar’ sudah menuju ke landasan kereta api Salak Selatan,” katanya.

Akui Nur Zakiah, mujur dia mendapat sokongan keluarga tercinta termasukibu

dan adik lelakinya untuk memulakan hidup bagi menyara empat anaknya.

“Sepatutnya perkahwinan kedua bermaksud masa depan lebih cerah dengan sokongan suami. Sebelum berkahwin saya diiktiraf sebagai usahawan wanita berjaya oleh agensi kerana cukup cemerlang dalam perniagaan jahitan.

“Tetapi, sebaik bergelar isteri kepada bekas suami, saya dipaksa menjadi suri rumah dengan wang saraan tidak sampai RM1,000 sebulan. Sedangkan dia jauh lebih mampu dan sangat berkira dengan saya dan anak-anak.

“Apabila diceraikan saya terus ‘terduduk’ kerana tidak langsung diberikan duit oleh bekas suami walau sesen pun. Saya hanya beri masa pada diri untuk menangis selama seminggu dan mula bangkit dengan modal pinjaman daripada ibu dan ihsan adik lelaki membeli semua peralatan memulakan jualan nasi lemak,” katanya.

Tidak hanya itu, keperitan dilalui Nur Zakiah menerusi perkahwinan kedua juga membuka mata terutama terhadap hak wanita dan kekuatan dimiliki seorang ibu.

“Saya bersyukur dengan kebebasan dinikmati sekarang walaupun terpaksa menjadi ibu dan bapa kepada anak-anak. Saya puas apabila menang dua kes iaitu nafkah anak menerusi potongan gaji serta hak penjagaan anak,” katanya yang membela nasib lebih 100 ibu tunggal yang turut menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

© New Straits Times Press (M) Bhd

OR

Scroll to Top