June 5, 2023

Kemenangan bukti prestasi NSFC meningkat – Devan

<img src="" width="250px">

sukan@hmetro.com.my

Seremban: Ketua jurulatih Negeri Sembilan FC (NSFC), K Devan menyifatkan kemampuan pemain pasukan itu mencetak empat gol dalam perlawanan Liga Super menentang Kelantan FC, malam tadi, membuktikan satu peningkatan prestasi yang sangat baik.

Malah, pengendali berpengalaman itu akui ia adalah jumlah jaringan terbanyak yang dilakukan anak buahnya selepas melalui lima perlawanan liga, hasil kemenangan 4-2, malam tadi.

“Ini kali pertama kita menjaringkan empat gol dan saya rasa ini suatu perubahan yang besar dari segi prestasi pemain.

“Saya puas hati dengan kemajuan serta persembahan dipamerkan pemain malam ini (malam tadi), walaupun kita berpeluang menambah jaringan, namun kejayaan meraih tiga mata menunjukkan pemain telah membuktikan kemampuan sebenar mereka,” katanya selepas perlawanan.

Pada pertembungan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi itu, skuad Hobin Jang Hobin terlebih dulu membuka tirai jaringan menerusi Mahali Jasuli pada minit ke-15, namun disamakan Ismaheel Akinade pada minit ke-35 melalui sepakan penalti.

Tiga gol Negeri Sembilan lainnya dijaringkan masing-masing Herold Mark Goulon (m-37), Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi (m-75) dan Casagrande (m-88) manakala Akinade meledak gol kedua Kelantan pada minit ke-52.

Mengulas lanjut, Devan berkata anak buahnya menunjukkan mentaliti dan komitmen yang baik sepanjang tempoh 90 minit perlawanan dalam usaha meneruskan rentak kemenangan selepas kemenangan pertama tercipta ke atas Terengganu FC (TFC) pada aksi terdahulu.

Menurutnya, meskipun menerima tentangan sengit daripada skuad The Red Warriors,namun pemainnya berjaya mengimbangi kekuatan lawan dengan keupayaan melakukan serangan ke kawasan gol lawan, walaupun beraksi dalam keadaan padang yang basah selepas hujan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

OR

Scroll to Top