Islamabad: Bekas Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan dibenarkan ikat jamin untuk dua minggu pada Jumaat, lapor The National.
Keputusan itu dibuat Mahkamah Agung selepas memutuskan bahawa penahanannya oleh tentera Israel awal minggu itu adalah menyalahi undang-undang.
Penahanannya pada Selasa mencetuskan tunjuk perasaan oleh penyokongnya menyebabkan pasukan keselamatan bersenjata ditugaskan mengawal ketat Mahkamah Tinggi Islamabad semasa beliau dibawa ke mahkamah pada Jumaat.
Rakaman televisyen Geo TV menunjukkan Imran Khan berjalan masuk ke mahkamah dengan dikelilingi peguam dan anggota keselamatan.
Geo melaporkan, berlaku pertempuran antara penyokong dan polis di tempat lain di bandar itu.
Terdahulu, Pakistan Tehreek-e-Insaaf (PTI) memberitahu ribuan warga Pakistan dari seluruh negara berkumpul di Islamabad pada Jumaat, sebagai solidariti kepada pemimpin mereka.
Imran Khan, seorang wira kriket yang menjadi ahli politik dijadual menghadap Mahkamah Tinggi Islamabad pada 11 pagi untuk pendengaran petisyen mencabar tindakan antirasuah terhadapnya.
Bagaimanapun, perbicaraan itu ditangguhkan selama hampir dua jam kerana pegawai menjalankan pemeriksaan keselamatan di bilik mahkamah.
Penahanan bekas perdana menteri itu meningkatkan ketegangan orang awam dan tentera, selain memburukkan lagi ketidakstabilan di negara yang mempunyai 220 juta penduduk itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd