April 2, 2023

GST tidak akan dikembalikan bagi tangani hutang negara

<img src="" width="250px">

mahaizura@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kerajaan tidak bercadang memperkenalkan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) serta cukai kepenggunaan berasas luas yang lain buat masa ini.

Sebaliknya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan menumpukan aspek mengurangkan subsidi kepada golongan kaya selain beberapa langkah dalam menangani hutang negara selain menjana pendapatan negara.

“Kita tak bercadang memperkenalkan GST atau cukai kepenggunaan berasas luas lain, tetapi yang kita perketatkan ialah pengurangan subsidi bagi golongan kaya seperti dilakukan dalam isu subsidi elektrik.

“Ada langkah lain kita perkenalkan umpamanya, subsidi diesel pada 2022 ialah RM20 bilion tetapi dalam kajian Ketua Audit Negara dan lain separuh daripada volume (jumlah) itu dijual melalui stesen minyak.

“Maknanya kalau kita boleh selamatkan antara RM5 ke RM6 bilion daripada ketirisan, itu akan membantu,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan dikemukakan Wong Kah Woh (Taiping-PH) sama ada kerajaan bercadang untuk memperkenalkan cukai baharu dalam menyelesaikan hutang negara mencecah RM1.5 trilion.

Mengulas lanjut katanya, kerajaan melaksanakan pelbagai langkah lain untuk menangani hutang negara termasuk menjana ekonomi negara.

“Langkah diambil ini pertamanya membaiki tatakelola kerana antara perbelanjaan bilion ringgit yang hilang ini kerana pengurusan lemah, ketirisan dan menyebabkan hutang lebih tinggi dari pertumbuhan ekonomi negara.

“Begitu juga beberapa hal lain dari segi penjanaan pertumbuhan ekonomi kerana kesediaan pelabur domestik dan asing yang mula masuk ke dalam negara, saya percaya hasil akan meningkat tanpa membebankan rakyat.

“Kita juga mengkaji semula perbelanjaan awam tanpa membebankan rakyat terutama dalam bidang pendidikan dan kesihatan.

“Dalam hal ini, boleh kita cerakinkan dalam pembentangan Belanjawan pada 24 Februari ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

OR

Scroll to Top