May 28, 2023

Emas Thor ceriakan kembali kontinjen negara

<img src="" width="250px">

sukan@hmetro.com.my

Phnom Penh: Thor Chuan Leong membawa keceriaan buat kontinjen Malaysia apabila meraih pingat emas dalam acara snuker perseorangan lelaki di Sukan Sea Kemboja 2023, sebentar tadi.

Thor berada dalam elemennya tersendiri untuk menewaskan pencabar dari Thailand, Akani Songsermsawad 4-1 (74-42, 67-48, 53-72, 53-17, 63-21) di Aeon 2 Mall bagi merampas semula emas yang pernah dimenanginya di Singapura 2015.

Atlet berusia 35 tahun itu yang pernah menyertai Jelajah Pro Dunia mengalami kemerosotan prestasi dan hilang daripada radar buat seketika, kini berada di landasan tepat dalam usaha untuk memulihkan maruahnya yang tercalar.

“Saya gembira dengan kemenangan ini, saya menyertai hanya satu acara pada kali ini, tekanan nyata amat berat sekali,” kata Thor selepas memenangi perlawanan final berkenaan.

“Saya melalui masa sukar bermain di jelajah pro di United Kingdoms, saya pernah menjadi juara Asia tetapi saya seperti masih mentah ketika itu… ia mengambil masa empat ke lima tahun untuk kembali menemui corak permainan saya.

“Nama saya ‘sunyi’ seketika kerana permainan saya menurun dengan teruk… saya sedang mencari semula rentak permainan dan ia semakin baik sekarang ini.

“Pingat emas ini bukan saja untuk saya tetapi negara kerana memberi peluang saya mewakili Malaysia dan juga sokongan dari Persekutuan Snuker dan Biliard Malaysia (MSBF) dan Majlis Sukan Negara (MSN).”

Atlet dari Pulau Pinang itu juga berharap dia dapat bermain di Jelajah Pro semula meskipun masih belum pasti mengenai perjalanan kariernya di masa depan.

“Saya tidak tahu… saya sudah berusia 35 tahun dan apa juga boleh berlaku dalam tempoh dua tahun akan datang.

“Kadangkala kamu boleh mengalami masalah daripada sudut mental (ketika kejohanan) Saya akan bermain di Thailand untuk satu kejohanan dan kemudian menyertai Q School (Qualifying School Tournament) untuk bermain secara profesional semula.”

Emas diraih Thor memberi kelegaan buat kontinjen Malaysia di Sukan Sea Kemboja selepas 24 jam tanpa meraih kilauan pingat berharga itu sejak semalam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

OR

Scroll to Top