June 3, 2023

Ecuador isytihar darurat di pelabuhan utama tangani jenayah

<img src="" width="250px">

QUITO: Ecuador mengisytiharkan darurat di pelabuhan utama di negara itu dan beberapa kawasan lain yang terlibat dengan jenayah berkaitan dadah.

Perintah darurat itu antara lain membenarkan pasukan keselamatan menubuhkan pusat pemeriksaan dan menjalankan penggeledahan tanpa waran terhadap individu dan hartanah.

Presiden Guillermo Lasso dalam ucapannya menegaskan beliau sudah mengisytiharkan darurat di pelabuhan Guayaquil dan daerah Duran dan Samborondon serta di wilayah Santa Elena dan Los Rios.

Menurut Lasso, darurat itu turut merangkumi pelaksanaan perintah berkurung di kawasan yang terjejas bermula dari pukul 1 pagi hingga 5 pagi setiap hari.

Tahun lalu, Lasso mengisytiharkan darurat sementara yang serupa sebanyak tiga kali di Guayaquil, yang mencatatkan lonjakan kes pembunuhan berkaitan jenayah terancang.

Setakat ini, Lasso tidak menyatakan tempoh darurat itu akan dilaksanakan.

“Kita mempunyai musuh yang sama iaitu aktiviti kongsi gelap, pengedaran dadah dan jenayah terancang,” katanya dalam ucapan yang disiarkan secara langsung di televisyen.

Ecuador dilanda gelombang jenayah kekerasan yang kerap menyaksikan pertempuran berdarah antara kartel dadah.

Dilaporkan, negara itu juga menjadi pusat pengedaran narkotik utama untuk dihantar ke Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.- AFP

OR

Scroll to Top