May 28, 2023

Dakwaan polis enggan terima laporan disiasat

<img src="" width="250px">

IPOH: Dakwaan pegawai polis enggan menerima laporan dibuat orang awam telah dirujuk ke Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh untuk siasatan selanjutnya.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, pihaknya memandang serius dakwaan berkenaan dan sama sekali tidak pernah menghalang mana-mana pihak untuk membuat laporan polis.

“Kita mengesan satu video berdurasi 35 saat yang dimuatnaik di Twitter di mana seorang individu mendakwa pihak polis enggan menerima laporan yang mahu dibuat untuk tujuan keselamatan.

“IPD Ipoh ingin menegaskan bahawa pihak polis tidak pernah dan tidak akan menghalang pengadu untuk membuat laporan di mana-mana balai polis di seluruh negara.

“Bagaimanapun, kita akan rujuk dakwaan pengadu kepada Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard untuk siasatan dalaman,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Menurut beliau, orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kandungan video berkenaan kerana dikhuatiri menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan.

“Pihak polis mengambil positif video yang dimuatnaik pengadu di Tiktok yang kemudian tular di laman sosial Twitter sehingga mendapat perhatian umum,” katanya.

Terdahulu, video dimuatnaik pengadu tular selepas lelaki terbabit mendakwa polis enggan menerima laporan yang ingin dibuatnya bagi tujuan keselamatan diri dipercayai selepas mengoyak lebih 200 poster berkaitan iklan ahlong. – UTUSAN

OR

Scroll to Top