June 11, 2023

Chong Wei dedah rahsia untuk jadi No. 1 Dunia

<img src="" width="250px">

PETALING JAYA: Legenda badminton dunia, Datuk Lee Chong Wei mendedahkan pemikiran yang tepat menjadi salah satu faktor membantunya melakar rekod pemain badminton paling lama menghuni tangga No. 1 Dunia.

Perkara tersebut didedahkan Chong Wei ketika disenarai dalam Dewan Kemahsyuran Persekutuan Badminton Dunia (BWF) di ibu negara hari ini.

Meskipun Chong Wei menjadi pemain perseorangan lelaki negara yang kelima yang berjaya mendaki puncak No. 1 Dunia, namun dia berjaya mempertahankan kedudukan itu selama 329 minggu, rekod yang masih belum berjaya dicabar oleh mana-mana pemain sehingga kini.

“Memang saya sentiasa ada pemikiran untuk menjadi No. 1 Dunia.

“Saya rasa ada ramai pemain di dalam negara ini pernah dapat gelaran No. 1 Dunia, tetapi mungkin ada di antara mereka bertahan satu atau dua bulan sahaja, saya tidak pasti, jadi dalam fikiran, saya sentiasa mahu menjadi rakyat Malaysia pertama menjadi nombor satu dunia paling lama,” jelasnya ketika sesi sidang media bersama pemberita.

Turut sama menerima anugerah tersebut merupakan seteru utamanya, Lin Dan dari China.

Lebih menarik, ini kali pertama Lin Dan hadir membuat penampilan di dalam majlis antarabangsa selepas tiga tahun.

Justeru kehadiran seteru lamanya itu menggamit semula kenangan buat Chong Wei yang telah berentap dengan Lin Dan sebanyak 40 kali sejak dengan kali terakhir mereka berdua berentap adalah ketika suku akhir All England 2018 yang memihak kepada pemain China itu.

“Saya rasa anugerah amat bermakna untuk karier saya dan dalam masa yang sama, saya harap dapat menyemarakkan lagi ramai pemain muda untuk bermain badminton seperti saya dan Lin Dan,” tambah Chong Wei.

OR

Scroll to Top