Kuala Lumpur: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan gangguan bekalan elektrik berlaku di Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) di Sepang, Selangor pada 1.41 tengah hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif CAAM Kapten Norazman Mahmud berkata justeru, semua operasi kawalan trafik udara dipindahkan dengan segera ke fasiliti kawalan kesinambungan perniagaan sementara kerosakan teknikal itu dibaik pulih.
Beliau berkata, ini akan memastikan gangguan minimum terhadap operasi penerbangan dan mematuhi Pelan Kesinambungan Perniagaan (BCP).
“Semua ketibaan dan pelepasan ke Wilayah Maklumat Penerbangan Kuala Lumpur (KL FIR) adalah tertakluk kepada pengurusan aliran trafik udara.
“CAAM kesal atas kesulitan yang ditimbulkan oleh gangguan ini kepada semua penumpang yang terjejas dan memberi jaminan tidak akan berkompromi terhadap isu yang membabitkan keselamatan serta sekuriti operasi kawalan trafik udara,” menurutnya dalam kenyataan di sini.
© New Straits Times Press (M) Bhd