June 11, 2023

Bendung ketirisan sumber negara – Pemangku Raja Perlis

<img src="" width="250px">

LANGKAWI: Sebarang ketirisan sumber negara hendaklah dibendung sepenuhnya walaupun tanggungjawab untuk melaksanakannya bukan mudah.

Pemangku Raja Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, perkara tersebut tidak mustahil dicapai jika semua pihak memahami kesan-kesan buruk ketirisan dan tanggungjawab moral masing-masing.

“Oleh itu, wajar sekali nilai-nilai murni sejagat dan kesedaran keagamaan diterapkan secara berterusan ke dalam minda setiap anggota dan peringkat masyarakat,” titah baginda selepas berkenan berangkat ke Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA ’23) di sini hari ini.

Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Baginda berdua berkenan meluangkan masa kira-kira tiga jam menyaksikan pertunjukan udara daripada pasukan akrobatik udara Black Eagle (Korea Selatan), Jupiter (Indonesia) dan Flanker (Malaysia).

Selain itu, baginda juga berkesempatan melawat reruai yang mempamerkan teknologi terkini khususnya dalam bidang kejuruteraan pertahanan dan pameran pelbagai pesawat udara.

Baginda berdua turut berkenan bergambar bersama juruterbang dan kru pasukan akrobatik Black Eagle itu.

Sementara itu, Tuanku Syed Faizuddin merangkap Komander Rejimen 504 Askar Wataniah Tentera Darat Malaysia bertitah, seluruh jentera kerajaan juga diseru bertindak dengan cekap dan bijaksana dalam menguruskan sumber-sumber dan keutamaan negara serta organisasi.

“Pembangunan sumber manusia tidak boleh diabaikan, malah perlu terus ditambah baik agar segala program dan projek pembangunan yang dirancang dapat dilaksanakan mengikut jadual dan menepati matlamatnya.

“Di masa yang sama kerjasama lebih erat dan intensif daripada semua pihak termasuk sektor swasta, organisasi bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan diperlukan untuk merancakkan lagi agenda pembangunan negara,” titah baginda.-UTUSAN

OR

Scroll to Top