June 11, 2023

Bekalan ikan masih mencukupi – Salahuddin

<img src="" width="250px">

khairil.ashraf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menegaskan bekalan ikan masih mencukupi untuk pengguna di negara ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub bagaimanapun berkata, pihaknya kini dalam keadaan sedia jika benar bekalan ikan berkurangan seperti yang didakwa oleh peniaga.

Katanya, pegawai KPDN dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) setiap hari bertukar nota bagi melihat keadaan itu secara serius.

“Di peringkat KPDN dan Kementerian Pertanian, hari-hari bertukar nota melihat keadaan ini secara serius dan apa jua tanda-tanda kenaikan itu akan dapat kita tangani.

“Tapi setakat petang ini, segalanya (bekalan dan harga) adalah stabil,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pelancaran Inisiatif Payung Rahmah Bersama Giant di Batu Caves, hari ini.

Harian Metro sebelum ini melaporkan harga ikan di pasar meningkat antaranya disebabkan cuaca panas selain faktor ombak besar yang menyebabkan nelayan kurang ke laut.

Dilaporkan, rata-rata peniaga ditemui mengakui terpaksa menaikkan harga jualan bagi menampung kenaikan di peringkat pembekal yang mendakwa bekalan kurang.

Sementara itu, Salahuddin memaklumkan sehingga hari ini, 3,590 cawangan termasuk kedai, pasar raya dan perniagaan berada di bawah inisiatif Payung Rahmah.

“Dan 14,500 barangan yang dijual dengan pemotongan dari tiga sehingga 50 peratus,” katanya.

Salahuddin berkata, pihaknya juga akan mengadakan satu pertemuan dengan semua pemain industri bagi membincangkan hala tuju inisiatif Payung Rahmah.

Katanya, kementeriannya akan membuat satu perancangan yang lebih komprehensif agar ia menjadi lebih sistematik di mana semua pakej, menu dan jualan ini berpanjangan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

OR

Scroll to Top