sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Ketua jurulatih pasukan sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun menyifatkan tugasan baharunya itu sangat mencabar berikutan prestasi semasa skuad sepak takraw kebangsaan yang tidak berada di tahap baik ketika ini.
Bagaimanapun bekas pemenang pingat emas Sukan Asia Hiroshima 1994 itu sedia menerima cabaran dan akan mengembalikan kegemilangan sukan tradisi itu yang selama ini menjadi kebanggaan rakyat Malaysia.
“Sebenarnya tugasan jurulatih (pasukan negara) sangat mencabar bagi mana-mana individu lebih-lebih lagi dengan prestasi skuad kebangsaan kita yang agak statik.
“Suka atau tidak saya kena terima hakikat kita punya prestasi belum sampai ke satu tahap yang diharapkan. Bagi saya ia satu cabaran untuk saya dan pasukan perbaiki keadaan dan meningkatkan prestasi pasukan negara.
“Jadi apa-apa cara sekalipun saya dan pasukan kena buat sehabis baik untuk cari fomula yang saya fikir tak mustahil walaupun cabaran itu bagi saya agak besar,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sebelum ini, jawatankuasa Pemilihan Pemain dan Jurulatih Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) mengumumkan Ahmad Jais sah menggalas tugas sebagai ketua jurulatih baharu skuad sepak takraw negara.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan, Datuk Abdul Halim Suleiman, pelantikan berkenaan dibuat selepas mereka bermesyuarat semalam namun senarai tujuh lagi nama jurulatih lain hanya akan diumumkan minggu depan.
Dalam pada itu, Ahmad Jais berkata, pada permulaan ini, dia akan memberi tumpuan untuk meningkatkan lagi kerjasama sepasukan yang disifatkannya sangat penting untuk membantu prestasi skuad negara.
Jelasnya, sekiranya elemen itu berjaya ditingkatkan selain latihan yang lebih sistematik, dia percaya prestasi skuad negara mampu untuk naik dengan lebih cepat selain mampu untuk menampilkan aksi yang konsisten dalam setiap kejohanan yang disertai.
© New Straits Times Press (M) Bhd