May 28, 2023

Affin Bank unjur pertumbuhan pinjaman 10% hingga 11%

<img src="" width="250px">

Kuala Lumpur: Affin Bank Bhd mengunjurkan pertumbuhan pinjaman pada 10 hingga 11 peratus bagi tahun fiskal 2023 berbanding 15 peratus yang dicatatkan tahun lalu, susulan prospek berhati-hati ke atas sektor perbankan secara keseluruhannya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Wan Razly Abdullah Wan Ali berkata, tahun ini dijangka menjadi tempoh mencabar susulan cabaran ekonomi hebat di Amerika Syarikat (AS) dan kelembapan di Eropah, dengan kedua-dua pasaran itu mungkin mengalami kemelesetan.

Beliau berkata, ini memberi kesan spontan ke atas Asia dan Malaysia, namun masih banyak peluang perniagaan dikenal pasti di Malaysia.

“Bagaimanapun, kami menurunkan sasaran pertumbuhan daripada 15 peratus yang direkodkan tahun lalu dan ini bergantung kepada tahap keterukan kelembapan dan kemelesetan yang mungkin menjejaskan AS dan Eropah.

“Kami kekal fokus pada pengembangan francais pelanggan dan melonjakkan perniagaan margin tinggi di samping mengekalkan dan menambah baik kualiti aset kami,” katanya selepas mesyuarat agung tahunan Affin Bank di sini, kelmarin.

Beliau berkata bagi 2023, dua bidang tumpuan perniagaan utama bagi pertumbuhan pinjaman terus hadir daripada perbankan komuniti iaitu aset perbankan runcit serta perbankan perusahaan kecil dan sederhana, yang kedua-duanya mencatatkan pertumbuhan kukuh 11 hingga 13 peratus tahun lalu.

“Perbankan Islam juga perniagaan paling pesat berkembang dalam bank ini, mencatatkan pertumbuhan pinjaman lebih tinggi tahun lalu, mengatasi pertumbuhan pinjaman kumpulan pada 17 peratus dan menyumbang 40 hingga 45 peratus kepada keuntungan bank,” katanya.

Beliau berkata, Affin Bank juga berusaha meningkatkan nisbah akaun semasa dan akaun simpanan memandangkan bank ini antara yang ketinggalan dalam melonjakkan nisbah ini.

Wan Razly berkata, dalam melangkah ke hadapan, bank ini kekal fokus membangunkan sistem dan teknologi utama yang menjadikannya lebih berdaya tahan dan kukuh untuk menyokong pertumbuhan asas pelanggan.

Bagi tahun ini, Affin Bank memperuntukkan RM400 juta bagi perbelanjaan modal, dengan 80 peratus daripada jumlah itu disasarkan dalam inisiatif pendigitalan, khususnya bagi meningkatkan aplikasi bahagian fungsi jualan dan perkhidmatan pelanggan; bahagian pengurusan risiko dan strategi korporat; serta bahagian analisis, perkhidmatan sokongan teknikal dan pentadbiran.

“Kami akan kekal fokus pada rancangan perniagaan kami. Kami akan terus melabur dalam teknologi dan menambah baik perkhidmatan pelanggan di samping terus belajar dan mengembangkan aktiviti alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) kami.

“Pasaran selepas ini akan menjadi semakin sukar dengan kelembapan ekoran kadar faedah dan inflasi yang tinggi, dan oleh itu terdapat keperluan untuk bank menjadi lebih cekap untuk menangani semua risiko.

“Mungkin terdapat sedikit peningkatan pinjaman lapuk, namun kami mesti berwaspada dengannya dan mengetatkan piawaian pengunderaitan kami,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

OR

Scroll to Top