am@hmetro.com.my
Kuantan: Polis Pahang menahan 464 individu termasuk lapan wanita yang terbabit dengan penyalahgunaan dadah sepanjang tempoh tiga hari Ops Sarang dilaksanakan berakhir semalam.
Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman berkata, operasi oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri itu diadakan serentak di 11 daerah di negeri ini membabitkan 18 pegawai, 156 anggota dengan bantuan sembilan anggota polis bantuan Felda.
“Operasi kali ini bertumpu di kawasan perladangan dan perumahan di tanah rancangan Felda yang mana sebanyak 369 serbuan berjaya dilakukan dengan menggempur 41 sarang penagihan dadah.
“Mereka yang ditahan berusia antara 19 hingga 71 tahun dan daripada jumlah yang ditahan, seramai 24 orang adalah pengedar manakala enam lagi adalah orang yang dikehendaki.
“Seramai tiga orang dituduh mengikut Seksyen 39 C Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala 30 orang lagi turut dicadangkan untuk dituduh mengikut Seksyen sama,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Katanya, sepanjang operasi terbabit, jumlah keseluruhan rampasan dan sitaan bernilai lebih RM95,000 dengan nilai rampasan dadah dianggarkan berjumlah lebih RM72,000.
“Polis Pahang sentiasa memandang serius mengenai masalah penyalahgunaan dadah dan sentiasa komited untuk membasmi masalah gejala dadah yang menjadi kegusaran masyarakat.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kegiatan dan aktiviti berkaitan dadah boleh menyalurkan maklumat ke Pusat Kawalan Kontinjen Pahang di talian 09-5053287,” katanya.
From: KmY
© New Straits Times Press (M) Bhd